Senja Itu Selepas Hujan

 

Melihatkan takungan air di dalam pasu bunga itu, ini bukan hujan biasa-biasa baginya. Ditenung sahaja pokok yang tinggal ranting basah itu.

Langsir ditutup semula menggelapkan kamar yang sudah tidak lagi disinari mentari. Badan dia yang lenguh-lenguh direnggangkan sedikit sewaktu cuba mencapai telefon bimbit di meja tulisnya.

Teks yang terpamer di skrin telefon bimbitnya membuatkan tubuhnya terkocoh-kocoh. Disarungkan singlet, seluar tracksuit dan kasut Nike lalu dikosongkan biliknya untuk senja Ahad itu.

Telefon bimbit memang sengaja ditinggalkan. Lagipun mereka berdua sudah punya lokasi yang ditetapkan yang tak perlu dirunsingkan lagi.

Jalan tar menuju ke mini stadium itu sudah mula mengering. Dari jarak yang dia berdiri sekarang ini, lebih kurang 50 meter saja lagi yang tinggal. Stadium itu sememangnya gelap seperti hari-hari lain.

Dan ini menjadikan Nuri gemar mengajak Amir untuk berjoging di situ. Katanya, jogging di malam hari sedikit sejuk. Tetapi permainan akalnya mengatakan lain. Mungkin Nuri berasa malu memperlihatkan ototnya yang timbul-timbul ataupun peluh yang membasahi tank-top di ruangan dadanya. Dia cepat-cepat mencari Nuri di tempat biasa.

Seperti dua hari lepas dan juga tiga minggu sudah, Nuri sering tidak dijumpai apabila dia tiba di stadium. Seingatnya, Nuri pernah bersembunyi di bilik gym lelaki dan juga tangga kolam renang yang kosong.

Kata Nuri, permainan orang dewasa ialah bermain sorok-sorok. Dia langsung tidak memahami di sebalik maknanya.

Bilik gym, kolam renang, gelanggang bola jaring sudahpun dia cari. Nuri masih berdiam diri. Apakah baginya dengan bersembunyi begini sudah jadi riadah baru yang sihat? Amir sedikit tertekan mengenangkan telefon bimbitnya yang ditinggalkan di meja tulis.

***

Sudahpun mencecah jam 12 malam, dia masih tidak lagi mendapat apa-apa berita tentang Nuri. Panggilan tidak dijawab; tiada. Satu mesej diterima; tiada. Dia sendiri tidak tahu apakah patut untuk dia risau ataupun berasa hampa mengenangkan kelakuan Nuri sebegini.

Kesemua mesej daripada Nuri sebelum ini selesai dibaca. Amir mula menyedari sesuatu. Belum pernah mana-mana mesej daripada Nuri punya bilangan titik noktah yang banyak di penghujungnya. Tetapi mesej terakhir yang diterima punya titik sedemikian (…..)

Amir sudah cukup merasakan Nuri seorang yang misteri.

Amir tahu dia hadir dalam dunia Nuri adalah sebagai orang asing pada mulanya. Mereka diibiratkan seperti dari dunia yang berbeza. Nuri, gadis muda yang punyai keinginan aneh dan dia sekadar lelaki yang cukup tua untuk bersama Nuri. Mengenali Nuri seakan eskapism untuk keluar dari kotak realiti sekarang ini. Hanya Nuri yang boleh mencipta dunia mereka untuk diisi keberangkalian yang ada. Kadang-kadang dia merasakan Nuri adalah kenalan yang menyeronokkan. Nuri tidak perlu bergantung dengannya seperti wanita-wanita lain. Dia tidak perlu merasakan tanggungjawab olehnya untuk mengendong perasaan Nuri. Dan ini menguatkan lagi Nuri punyai eskapism yang patut dia huni.

Selepas kehilangan Nuri beberapa kali, dia masih berharap Nuri adalah realiti pada fizikal untuknya. Dia tidak lagi mahu mengabaikan tumpuan hanya sekadar untuk sisa-sia minggunya.

***

Amir membelek semula fail kerjanya lalu terlerailah kertas-kertas lukisan komik yang baru dia mulakan di atas lantai. Dia seharusnya siapkan sebelum tiba hari esok untuk dihantar ke meja bosnya. Satu keluhan kasar dilepaskan Amir apabila Nuri tidak lagi hadir sebagai idea untuk dunia mereka berdua.

Lagu She’s Gone terpasang kuat di ruangan biliknya malam itu menanti hari esok, Isnin dan juga menanti Nuri di tempat biasa di kotak fikirannya.

Kandar R.

Advertisements

Bagaimana Membohongi Orang Tuanya Untuk Menjadi Dewasa

Tuhan melihat dia seperti anak kecil yang berjambang. Memiliki kedua tangan tegap yang berurat sambil leka bermain dengan hujung jari ibu. Pipinya langsung tidak dicium ibu kerana merasakan tajam-tajam selepas bercukur persis ayahnya. Tuhan awal-awal lagi sudah menetapkan kegagalan untuk dia mencintai ibu seperti ibu membenci ayahnya.

Menurut dia, Tuhan sedang mengatur keluarganya sesuatu yang kurang baik untuk sesuatu yang lebih baik. Ayah pernah menuturkan kalimat aneh di cuping telinganya. Tetapi dia sedar ayah hanya membohonginya jika selamat pulang untuk berjumpa dengannya. Tidak mungkin ada mana-mana agama di langit jika ianya gerbang kekerasan dan keganasan.

Menetap di dalam pondok tinggalan ayah merasakan ia seperti di pangkalan syurga. Bumbungnya hanya rimbunan pokok, kelilingnya adalah ladang-ladang strawberi. Ibu pula hanya memujuk yakni membohonginya sekali lagi dengan gula-gula strawberi supaya dia tidak lekas menanti kepulangan ayah.

Gula-gula itu kebiasaannya tinggal di dalam mulutnya sehingga rongak batang gigi keesokannya. Dia mahu menjadi anak kecil yang lain. Mula-mula dia mengubah kedudukan giginya, kemudian matanya dan mungkin juga jari-jemarinya supaya ibunya tidak lagi mengaku dia bukan kepunyaan ibu. Dan detik itu, dia tidak perlu lagi membohongi ibu untuk menindas rasa ingin tahu sikap ayah yang memperhambakan ibu hanya untuk kepalsuan agama.

Seperti yang ayahnya ajarkan, untuk menjadi dewasa cukup dengan memiliki sedikit jambang dan lilitan kain di kepala untuk menjadikan kita lebih mulia dan mampu mendominasi dunia dengan sedikit penipuan di bawah nama agama.

Dan kini, dia lebih bersedia untuk pementasan sebenar menyelamatkan ibunya, juga manusia-manusia lain daripada terus ditipu oleh ayahnya tentang terrorisma yang menjanjikan syurga di alam sana.

Kandar R.

Runtuhnya Pondok Di Samping Surau

Senja itu anak-anak kecil berlumba siapa paling awal menemu Tuhan. Ada seruan dalam panggilan. Dan burung-burung masih terbang dalam barisan kepak yang menyilang. Matahari tenggelam. Langit sudah menunjuk pipinya yang gelap. Anak matanya buta sebelah dan belum lagi menampakkan bundar putih untuk menceritakan rancangannya menakluki siang buat sepanjangmya.

Ibu baru usai memarahiku. Ada percikan api keluar dari mulutnya. Hampir terbakar segala harapan di dalam pondok ini. Almari, cermin, sebongkah tivi paling dekat merasakan lidahnya yang membara. Ada jelaga yang membuktikan pengalaman hitam seorang si ibu.

Paling jelas yang mampu menutup bingitan di pondok ini adalah ditenggelami ucapan berita yang dipasang Ayah. Matanya paling ralit menonton isyarat tangan di kaca tivi. Itu bahasa paling mudah menyatakan perlakuan lebih enak difahami dari kata-kata. Ayah hanya mampu terapung-apung dengan kesakitan yang merasuk tiba-tiba. Adek pula sibuk dengan berketuk-ketak sepapan sempoa mengira keluar-masuk Ibu, menghitung lelaki asing membawa celaka dalam sejarahnya. Ternyata, keseimbangan pada pahala-pahala percuma si ayah meyakinkan dia untuk terus membunuhnya.

Dan aku terpanggil merakamkan sebuah pondok kecil yang terkandung neraka di sebelah musala yang anak-anak kecil tadi terkejarkan.

Kandar R.

Bersembunyi Mata

Selepas perbezaan itu kita sulit

menemukan kebetulan

Menemui persamaan adalah

turutan langkah kesegaran

pada manis bicara

pada enak tingkah segala

 

Lalu, aku dan engkau memilih

untuk menyelam kolam derita

yang malam tadi kita

sembunyikan.

 

Kandar R.

Sebelum Pagi Punya Aturan

Pagi-pagi lagi bahasa sudah bertutur

menjadi asing buat kita. Segala sapaan

merubah sekalian raksasa untuk

keluar mencari pendeta belajar menjadi

jinak buat kotanya. Lalu, kau bangun

dan menanyakan isyarat yang mana

boleh kita simbolkan untuk jurang ini.

 

Kau di seberang. Dan aku pula kaku

memeluk ketakutan sendiri sekarang.

 

Aku memegang kesemua papan tanda.

Dan aku pacak-pacakkan di jalan-jalan seharianmu

ulang-alik dari tempat tulismu menjadi nyata.

Kau belum mengerti setiap perlambangan yang

terbina. Waktu itu kau mendiam.

 

Raksasa masih memegang cahaya fajar belum terbit.

Ia selesa memeluk kemarahan sendiri. Dan kita ada

sisa semalam menghuni pertelagahan.

 

Dan pagi ini, pagi-pagi lagi metafora sudah

berdiri seperti yang aku puisikan.

 

Kandar R.

Dan Malam Itu Satu Tragedi

Pagi-pagi lagi Roslan sudah bangun. Pagi yang belum kedengaran lagi azan Subuh di sekitarnya. Satu-persatu helaian rambut disentuhnya. Muka Roslan yang sedikit kusam makin tidak menceriakan semangatnya pagi itu. Cermin di bilik mandi menampakkan wajahnya yang separuh. Roslan terpaksa mengenyit sebelah mata untuk mendapatkan fokus yang jelas untuk melihat wajahnya sendiri. Ada calitan darah, ada juga cecair jerawat yang dipecahkan hari-hari sudah.

Semalam. Seingat dia, Roslan memang langsung tidak hadir ke pejabat. Bukan kerana badannya sakit. Tetapi sememangnya badan dia sudah tidak lagi sihat. Dia mencapai tuala untuk membaluti pinggangnya. Telefon bimbit dicapai dari meja sebelah penjuru. Roslan mahu menyemak kalendar. Hanya berdasarkan catatannya di aplikasi itu sahaja membolehkan dia meneruskan hari-harinya.

Belum sempat dia menyemak catatan pada telefon bimbitnya. Penuh notifikasi panggilan tidak dijawab tertera pada skrin telefon. Sembilan panggilan daripada majikannya, satu panggilan lagi daripada teman wanitanya. Masing-masing menunjukkan waktu yang berbeza.

Roslan tidak peduli. Masa bukan saat paling ditunggu-tunggu untuknya. Dia hanya mahu menikmati udara di rumah sendiri. Di dalam rumahnya sudah cukup bau-bau yang melengkapi erti hidupnya. Katil di bilik utama ada haruman teman wanitanya, bucu meja di ruangan makan ada haruman bekas teman lelaki teman wanitanya, kain pengelap kaki di pintu masuk ada haruman minyak attar pak-pak ustaz. Belum dikira lagi sofa, tv, radio, ketuhar sekalipun tuala yang sedang dililit di pinggangnya.

Baru semalam tuala ini menelan seorang mangsa. Roslan telah membalut seketul batu besar dan mengikatnya ketat-ketat. Kemudian Roslan menyerang teman sepejabatnya usai sahaja waktu pejabat. Mujur juga dia tidak hadir ke pejabat semalam, kalau tidak mesti Azman akan mempelawa menumpang keretanya sahaja. Semestinya tertutuplah peluang untuk Roslan menghidupkan niat jahatnya. Tepat jam 8 malam, baru kelihatan Azman keluar dari pintu pejabat. Kereta Azman yang diparkir di belakang blok memudahkan kerja. Di situ lorongnya agak gelap dan orang yang lalu-lalang juga sedikit.

Dalam kiraan lima langkah perlahan di belakang Azman, ketika dia memasukkan kunci kereta di sebelah pemandu, Roslan terus menghayun tuala berisikan seketul batu tepat di kepala Azman. Ada bunyi yang tidak enak didengar apabila hentakan itu singgah di kepala Azman. Roslan hanya mampu memejamkan mata ketika itu.

Celik sahaja kelopak mata Roslan, dia hanya merenung lama tuala yang berbalut di pinggangnya sekarang ini. Terus dia melucutkan balutan itu. Bertelanjang bulat dia di rumah sendiri. Malam tadi selepas teman sepejabatnya tumbang, dia yakin benar nadi di pergelangan tangannya sudah kosong. Jantungnya pula paling riang berdegup melihatkan Azman berlumuran darah di lorong itu.

Perut Roslan meminta diisi makanan pagi itu. Perutnya kosong benar. Malam tadi perutnya hanya penuh dengan wiski sahaja. Dia betul-betul tidak mahu sedar dengan apa yang sudah terjadi. Dari satu kelab malam singgah lagi ke kelab-kelab malam yang lain. Wajarlah semalam ada satu panggilan dari teman wanitanya. Roslan langsung tidak menghubunginya padahal malam tadi; malam jumaat. Mungkin teman wanitanya mahu datang ke rumahnya tetapi dengan panggilan tidak berjawab itu ada sangkaan Roslan kepenatan ataupun sedang lena dengan perempuan lain.

Roslan sudah tiga tahun bersama. Namanya Julia. Dalam tiga tahun itu hanya seminggu dalam setiap bulan sahaja dia tidak berada di rumahnya. Privasi wanita kadang-kadang Roslan titikberatkan sekalipun hampir setiap malam dia menidurinya. Julia paling selesa bersamanya. Kadang-kadang dia mengajak Roslan menari sambil lagu reggae dipasang. Kadang-kadang dia juga mengajak main masak-masak di dapur. Padahal itu bukan kemahiran mereka berdua. Itulah antara kegilaan mereka berdua sebagai pasangan. Tapi baru-baru ini Julia sudah tidak se-Julia dulu. Semuanya berpunca selepas dia mengetahui Roslan mempunyai penyakit. Roslan ketika itu faham benar kerisauan Julia untuk dua atau tiga tahun mendatang.

Roslan mundar-mandir di ruang tamu. Dia masih berfikir-fikir juga mahu menghubungi semula teman wanitanya itu atau tidak. Mengingatkan tentang Julia, dendamnya pada Azman masih lagi belum reda. Padahal teman sepejabatnya itu entah-entah sudah diusung ke hospital untuk dibedah siasat. Azman bagi Roslan manusia paling celaka dalam hidupnya. Dia mencanang cerita tentang Julia mempunyai skandal dengan majikannya baru-baru ini. Roslan memang pantang orang luar menyebut yang bukan-bukan tentang Julia. Baginya Julia adalah sebahagian hidupnya.

Selang sehari dua selepas Azman kecoh-kecoh dengan berita itu, di hadapan sebuah kafe sewaktu hujan mula turun. Roslan di seberang dan mereka berdua sedang asyik berpegangan tangan di bawah sekaki payung. Roslan terus menyimpan dendam kepadanya. Bukan kepada Julia. Kerana dia masih lagi dalam dilema dengan penyakit yang dialami Roslan. Tetapi dendamnya kepada Azman. Sebetulnya, dendam itu sudah terlunas malam tadi.

***

Pagi-pagi lagi bahunya disentuh. Ada tekanan pada buah dadanya. Dia merengek sedikit. Selimut tebal itu ditarik makin ke atas bagi menghalang lelaki itu terus menggila. Lelaki itu mencium lapangan pipinya. Dia makin rimas. Tubuhnya dipaksa bangkit. Terus menuju ke bilik air.

Dia membelek-belek raut wajah sendiri tentang dosa dan kecurangannya. Gincu yang comot di tepi bibir dilap. Ada wajah Roslan terpacul di dalam cermin. Julia tahu itu bukan hantu. Tetapi proses dilema di dalam kepalanya. Dia bukan sedih dengan berita penyakit itu tetapi lebih kepada protes dengan kehendak Tuhan. Julia bukan tidak tahu Roslan sememangnya menyayanginya, Roslan manusia paling mengambil berat tentangnya. Akan tetapi selepas Julia melihat sendiri dengan biji matanya perlakuan Roslan semalam cukup menakutkan.

Ketika Roslan dalam kiraan lima langkah perlahan di belakang Azman, Julia berada 10 meter di antara mereka berdua bagi memulangkan buku nota Azman yang tertinggal tempoh hari. Julia menyaksikan sendiri hayunan tuala Roslan yang berisi sesuatu tepat di kepala Azman. Bunyinya cukup tidak enak didengar. Julia lari dari situ dan terus ke rumah bekas teman lelakinya sebelum mereka berdua dibuai lena sendiri. Ada juga Julia cuba-cuba menghubungi Roslan untuk mengetahui keadaannya. Tetapi dia hanya sanggup menanti dalam penantian panggilan kali pertama sahaja. Hanya satu sahaja panggilan tidak berjawab.

Dia masih tidak tahu adakah berani atau tidak untuk terus dia berhubung dengan Roslan lagi. Ini bukan kali pertama. Sebelum ini bekas teman lelakinya juga habis dibelasah di rumah Roslan. Menitik-nitik butir darah lelaki itu di bucu meja makan. Julia tahu Roslan tetap akan menjaganya sekalipun dia sakit. Julia membilas mukanya yang muram di sinki. Ada lagi perjalanan yang masih tidak diketahui untuk mereka berdua. Dia melangkah keluar dari bilik air apabila terdengarkan telefon bimbitnya berdering.

***

Roslan hanya mendail semula nombor panggilan yang tidak dijawab. Ada sembilan kali panggilan dari majikannya semalam. Dia menyimpan nombor majikannya itu di dalam telefon dengan perkataan Bullshit sahaja. Manakan tidak dia inilah bekas teman lelaki Julia yang masih tergila-gilakan hak milik dia. Panggilan yang tidak berjawab itu Roslan matikan sahaja. Roslan merenung semula telefon bimbitnya, adakah perlu untuk dia menghubungi Julia yang masih dalam dilema tentang penyakitnya. Dia memejamkan mata sambil jarinya terus menekan punat papan kekunci mendail. Tangannya lagi sebelah mengusap-usap rambutnya yang makin berkurang menunggu panggilannya diangkat oleh Julia.

Kandar R.

Melihat Dunia Berseni

Pohon-pohon adalah kesenangan,

memburu syurga keamanan,

merisik jiwa sunyi

kelahiran falsafah keilmuan.

Hikayat tinta

bertulisan potret rindu,

disemai subur senada lagu

zikir-zikir kesunyian alam

mendiamkan apa yang terpendam.

Gemersik seribu suara sang air,

membangkit naluri budi dizahir,

lapangan tanah akar bersemi,

menjadi pelindung sepenghuni bumi.

Terlakar engkau wahai alam,

mengunci nikmat-nikmat seni,

mencengkam perasaan dan memilukan

coretan-coretan kota kepayahan.

Kandar R.